Thursday, January 8, 2015

Alam Remaja

Assalamualaikum..

Apabila usia menginjak 13 tahun, maka bermulah alam remaja saya. Ketika di menengah rendah, berlaku suatu peristiwa sedih yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya. 

Kehilangan abah tercinta ketika berusia 14 tahun betul-betul memberi impak kepada saya. Saya berubah menjadi seorang yang pendiam dan lebih suka memendam perasaan. Sebelum ini, saya banyak bercerita setiap perkara yang terjadi dalam hidup saya kepada arwah abah. Tetapi selepas kehilangannya, saya berubah 100%. Namun begitu, saya bersyukur kerana walaupun separuh semangat saya sudah hilang, saya masih mampu mencatat keputusan yang cemerlang dalam PMR iaitu 7A 1B. 

Ketika di menengah atas, saya telah membuat satu kesilapan di mana ia memberi kesan kepada pelajaran saya. Saya telah salah memilih aliran! Saya tahu saya tidak mampu dan minat untuk belajar dalam aliran Sains Tulen. Tapi saya tidak tahu kenapa saya tetap mengambil aliran itu. Mungkin sewaktu itu, saya fikir saya mampu buat sekiranya saya berusaha bersungguh-sungguh. Banyak duit yang telah mama habiskan untuk saya semata-mata ingin memastikan saya mendapat keputusan yang cemerlang. Malangnya, saya hanya mencatat keputusan 5A 1B 3C untuk SPM. Ketika itu saya rasa seperti anak yang tidak berguna kerana saya tidak mampu menunaikan impian mama dan arwah abah. Kalaulah arwah abah masih ada, saya pasti dia akan kecewa dengan keputusan saya. 

Sepanjang alam persekolah menengah, saya telah belajar banyak perkara. Di sinilah saya belajar erti kesedihan, ketabahan, kekecewaan dan persahabatan.  

KESEDIHAN

Saya rasa selama 21 tahun saya hidup, inilah saat yang paling sedih saya pernah alami. Kehilangan tempat bermanja dalam usia muda telah mematangkan diri saya. 

KETABAHAN

Saya tahu saya perlu menjadi seorang yang tabah supaya mama tidak berasa sedih. Saya tidak pernah menangis depan orang. Tapi saya hanyalah manusia biasa yang lemah. Kadang-kadang saya akan menangis senyap-senyap ketika saya hendak tidur. Walau apa yang terjadi, saya tetap bersyukur kerana saya masih mempunyai mama yang sangat mengambil berat tentang saya. Saya tahu masih ada lagi orang yang mengalami nasib yang lebih teruk dari saya.

KEKECEWAAN

Banyak kekecewaan yang saya alami ketika fasa ini. Kecewa dalam pelajaran, percintaan dan kawan. Saya kecewa dengan keputusan SPM saya. Saya kecewa kerana putus cinta. Saya kecewa ada kawan yang tergamak menikam belakang saya. Namun semua itu mengajar saya untuk menjadi seorang manusia yang berguna. 

PERSAHABATAN

Nilai yang sangat penting saya belajar iaitu erti persahabatan. Walaupun banyak pergaduhan yang berlaku ketika berkawan, tetapi semua itulah yang mengajar saya untuk lebih menghargai persahabatan. Sekarang, rakan-rakan sekelas saya telah membawa haluan masing-masing. Ada yang belajar di Malaysia, Paris, Rusia, Ireland, Australia, dan United Kingdom. Saya bangga dengan pencapaian rakan-rakan saya. Kami masih berhubung sehingga sekarang. 

No comments:

Post a Comment